AKU RINDU POKOK EPAL

Cerita ini mengisahkan seorang insan yang diberi nama KITA dan sebatang pokok epal yang diberi nama BELIAU. Kisah ini diadaptasikan dari KISAH POKOK EPAL dari carian GOOGLE dan diubahsuai susunan ayat dan cara penyampaian oleh penaberkala dan diberi judul AKU RINDU POKOK EPAL! Cerita ini agak memberi kesan yang mendalam dan sesuai untuk dikongsi bersama. Semoga kita semua dapat menginterpretasikan cerita ini denga baik dan dapat mencerna mesej-mesej yang cuba disampaikan.

_________________________________________

Kisah bermula di suatu tempat yang diberi nama DESA. Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar. Seorang kanak-kanak yang bernama KITA begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal itu setiap hari. Pokok epal itu diberi nama BELIAU. KITA suka memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas hatinya, dan adakalanya KITA berehat lalu terlelap di perdu pokok epal tersebut. KITA begitu menyayangi tempat permainannya. Pokok epal itu juga menyukai dan sangat menyayangi KITA.


Masa berlalu, KITA sudah besar dan semakin meningkat usia menjadi seorang remaja. KITA tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok epal tersebut. Namun begitu, suatu hari KITA datang kepada pokok epal tersebut dengan wajah yang sedih.


Pokok epal : Marilah bermain-mainlah di sekitarku.

KITA: Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau. Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya (dengan nada sedih)

Pokok epal: Kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada padaku. Jualkannya untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau inginkan.



KITA dengan gembiranya memetik semua epal di pokok itu dan berlalu pergi dari situ. KITA tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal itu merasa rindu menunggu kepulangan dan kunjungan KITA.


Masa terus berlalu. Detik berganti detik, hari silih berganti. Sehinggalh pada suatu hari, KITA kembali lagi. KITA kini kian dewasa. Pokok epal itu merasa sungguh gembira menyambut kedatangan dan kepulangan KITA.

Pokok epal: Marilah bermain-main di sekitarku.

KITA: Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku. Bolehkah kau menolongku?

Pokok epal: Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya.


Lalu, budak yang semakin dewasa itu rakus memotong kesemua dahan pokok epal itu dan pergi dengan gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi kemudiannya merasa sedih dan agak berat hati kerana sekali lagi ditinggalkan KITA. KITA tidak kembali lagi selepas itu buat satu tempoh yang agak lama.


Suatu hari yang panas terik, kepulan awan tidak kelihatan, mentari menyinari bumi dengan bahangnya, seorang lelaki datang menemui pokok epal itu. Rupa-rupanya, dia sebenarnya adalah KITA yang pernah bermain-main dengan pokok epal itu. Dia telah matang dan dewasa.


Pokok epal: Marilah bermain-mainlah di sekitarku.

KITA: Maafkan aku, tetapi aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?

Pokok epal: Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong batang pokok ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat belayar dengan gembira.


KITA itu merasa amat gembira dan menebang batang pokok epal itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan meneruskan cita-citanya untuk berlayar.


Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin dimamah usia, datang menuju pokok epal itu. Dia adalah KITA yang pernah bermain di sekitar pokok epal itu sewaktu usia mudanya.


Pokok epal: Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa lagi nak diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat bot. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati. (Luahnya dengan penuh pilu)

KITA: Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tiada bergigi untuk memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu batang pokokmu kerana aku sudah tidak berupaya dan tiada kudrat untuk belayar lagi, aku merasa penat dan ingin berehat,.

Pokok epal: Jika begitu, berehatlah di perduku.


Lalu lelaki tua itu duduk berehat di perdu pokok epal itu dan beradu. Mereka berdua menangis kegembiraan.


TAMAT

____________________________________

Cerita ini memaparkan kisah yang mampu mengajak kita semua untuk berfikir tentang pengajaran di sebalik analogi yang cuba disampaikan menerusi jalan ceritanya. Sebenarnya, pokok epal iaitu BELIAU adalah IBU BAPA kita manakala insan yg bernama KITA itu adalah kita semua, iaitu anak-anak kepada kedua ibu bapa kita.

Ketika kita masih kecil dan kanak-kanak, kita suka bermain dan bermanja dengan mereka. Namun, setelah kita meningkat usia ke alam remaja, masa bersama mereka kian berkurang dan kita kerap memohon bantuan dan pertolongan mereka dari setiap sudut untuk meneruskan perjuangan hidup kita. Setelah diberi apa yang kita perlu, kita tinggalkan mereka untuk seketika dan mengejar apa yang kita hajati dan impikan. Akhirnya, kita akan kembali semula kepada mereka meminta pertolongan sewaktu kita dalam kesusahan.

Namun begitu, mereka tetap menolong dan membantu kita tanpa mengenal erti jemu dan putus asa. Mereka sanggup melakukan apa saja asalakan kita dapat hidup bahagia dan gembira demi mencapai apa yang kita impikan dalam hidup.

Kita mungkin beranggapan bahawa insan yang bergelar KITA dalam cerita ini bersikap kejam dan pentingkan diri. Ironinya, itulah hakikat yang kita lalui sekarang, hakikat bagaimana kita selaku anak-anak bersikap terhadap ibu bapa kita. Merekalah pelengkap dalam kehidupan kita. Membantu setiap masa, ada ketika diperlukan, mendoakan yang terbaik untuk kita tanpa minta sebarang bayaran.Tanpa mereka siapalah kita.

Semoga kita dapat jadikan kisah ini sebagai renungan bersama. Ke arah membentuk hala tuju kita selepas ini. Jalan mana yang kita akan pilih untuk mengembalikan pulangan daripada modal yang diberikan untuk hasil jualan buah epal, kemewahan rumah yang dirasa dan keindahan pelayaran yang dinikmati kepada mereka. Semoga, kita dapat beradu dan berbahagia bersama mereka di pengakhirannya dengan tangisan kegembiran dan bukannya tangisan kederhakaan kita kepada mereka!

Saat ini, aku amat rindu akan pokok epalku!

Post a Comment

3 Comments

  1. best2..
    jgn biarkan epal kte dimakan ulat...
    diserang serangga perosak..
    sam2 lah kita menjaganya ngn baiK...
    =]

    ReplyDelete
  2. whitedaisy:
    yup,jagalah mereka betul2 sementara masih ada

    filza zaini:
    tq

    ReplyDelete